Monolog Sang Abdi

2 Comments

Dalam hening tadabbur...

 

ALLAHu…

Tenggelamku dalam rindu padaMU

Yang sekian lama kupinggir tak bertamu..

Di ruang hati yang berkeruh palit noda

Sesak menyesak ruang dada

Syukur, aku masih dikurnia airmata

Menemaniku membasuh onar dosa

Hamba tiada apa, sesungguhnya tiada punya apa…

 

 

ALLAHu…

Asyik cinta yang Dikau hiaskan

Pada simpuh dinihari

Adalah hadiah-hadiah sakti

Yang tak henti-henti Dikau hulurkan

Dan tak letih-letih Dikau suapkan

Agar kian meneguh berdirinya ruh

Kurnia buat hamba yang selalu rapuh

 

ALLAHu…

kurniaMU tak pernah bernoktah

walau ingatku akanMU selalu tergugah

walau puasaku selalu sebatas makan

walau sujudku masih tertatih-tatih

walau istighfarku selalu letih

walau zikirku tanpa hadirnya hati

Engkau tak pernah henti memberi

tak henti-henti terus mengairi

Pada hayat pinjaman ini

 

ALLAHu…

Izinkan abdi terus mensyukuri

Pada hati; pada lisan; pada segala sisi

Izinkan nafas dan nadi ini

terus berdetak

Dengan hela kesyukuran

hingga akhir saat

nanti…

Advertisements

Ramadhan: Hadiah istimewa untuk hambaNYA…

1 Comment

Sambutlah hadiahNYA dengan jiwa hamba…

Bismillah.

Hadiah istimewa? Cantik berbungkus. Harum. Siap pula ditakhtakan reben bersinar keemasan . Wah, siapa yang tidak mahu melihat isinya. Mata yang melihat bercahaya-cahaya penuh ingin, pasti hatinya berbunga-bunga mahu. Untuk siapa? Untuk semua yang mahu. Mustahil ! Ya, ia untuk kamu yang mahu. Ambillah.

Begitu umpamanya Ramadhan. Ia hadiah istimewa pemberian ALLAH. Memang, ia untuk semua hamba ALLAH yang mahu. Isinya lebih indah. Lebih mengasyikkan iman. Ayuh semua, sambutlah hadiah cinta yang sedang ALLAH hulurkan. Ia dari ALLAH buat jiwa yang menghamba semata padaNYA. Ambilnya cuma bersyarat cekal dan sabar. Cekal pada mengusahakan setiap yang digemariNYA. Sabar dalam bertahan dari setiap yang dilarang dan dibenciNYA. Wah, rupanya ia hadiah berisi pakaian TAQWA yang akan diperagakan para mukmin untuk sebelas lagi bulan mendatang selepasnya. Ia sesungguhnya hadiah paling mulia yang menjadikan kita mulia, di pandanganNYA.

Ahlan…ahlan…ahlan ya Ramadhan. Sarat rindu kami kerana berat lagi rindu kami pada Penciptamu. Ramadhan kareem !

SELAMAT MENJANA TAQWA BUAT SEMUA PENCINTA YANG MAHA ESA…

Muqaddimah: Tinta seorang abdi…

Leave a comment

Pandangan iman kan berhasil membugarkan ruh...

Bismillah…Dengan izin yang Maha Pencinta.

Nadi maya ini berdetak mula kala ini. Ingin memaknai diri dengan jiwa abdi. Menyambut sahut demi menebar cinta ilahi. Yang terlalu indah tak terperi. Ke saentero pelusuk jiwa manusiawi. Sambil mahu sedar bahawa tiap ketik itu ada Pemerhati tanpa henti !

Khabar apa  jiwa-jiwa yang murni? Di mataNYA, kita semua bermula polos lagi suci. Sayangi diri dan biarkan ia bergelumang mujahadah demi mempertahan sebuah jiwa untuk tetap bersih dan kekal jernih sampai akhir nanti.

Tiadalah upaya dan kekuatan kecuali dengan ALLAH, kamu benar-benar pasti itu kan? Hamdan lillah!