Bismillah.
ALLAH akan beri apa yang kita fokuskan. Ya, fokus.
Kerana ALLAH telah menjamin bahawa DIA akan bertindak sebagaimana hamba-hambaNYA fikir dan fokus tentang DIA.
“AKU menurut persangkaan hambaKU terhadapKU…” [Hadith Qudsi]
Maknanya, andai kita memikirkan ALLAH itu Maha Baik. Subhaanallah! itu yang akan DIA terjemahkan di dalam setiap cerita hidup kita. Kalau kita berfikir ALLAH itu Maha Penyembuh. Sungguh, walau sakit lama mana atau seteruk apa pun jua. DIA pasti akan menghulurkan penawar. Ya, begitu sewajarnya yakin kita dengan segala apa yang dijamin olehNYA.
Namun, andailah saat kita telah memikirkan ALLAH itu Maha Penyembuh, tetapi kita yang telah lama sakit tidak pula kelihatan sembuh-sembuh. Sungguh, apa yang ALLAH beri, itulah jalan kesembuhan dan penawar buat kita. Sekalipun di sisi akal dan fikir kita yang terbatas ini, itu begitu jauh dari mengatakan ia kelibat sebuah kesembuhan ataupun penawar.
Namun, disisi ALLAH itulah penawar, itulah yang bermaksud kesembuhan. Tetaplah pinta kepada ALLAH agar dikuatkan hati untuk terus juga kuat bersangka yang baik-baik dan yang elok-elok kepada ALLAH. Kerana apa pun yang dihulurkan ALLAH, hakikatnya semuanya adalah anugerah yang seiring dengannya isian hasanah dan hikmah semata.
Apatah, kalau difikirkan lagi dan lagi. Jalan pertama untuk meraih kesembuhan itu adalah dengan memperelok sangka dan fikir kita kepada diri kita dan sudah tentu pertamanya kepada ALLAH, Yang Maha Segala-galanya.