penNotes

pesan berpesan untuk jiwa…

Bismillah.

Tinta hamba singgah sebentar di petang damai ini. Sekadar ingin mencoret-coret sedikit nota untuk ingatan sendiri tentang manfaat hadirnya ujian di celah-celah perjalanan kehidupan. Ujian yang dimaksudkan di sini adalah ujian musibah atau disebut juga — mehnah. Kerana, jangan lupa bahawa ujian berbentuk kesenangan juga sebenarnya  adalah ujian. Namun, pastinya kesan dan manfaatnya berbeza.

 

Di realiti kehidupan seharian, bila disebut kata ujian, biasa-biasanya orang akan merasa gentar dan resah untuk menghadapinya. Tidak kira ia ujian pertengahan semester di universiti atau sekolah, ujian memandu kereta atau apapun jenis ujian lainnya.

 

Begitu juga dengan kata ujian yang dimaksudkan di sini. Kalau tidak banyak, pasti sedikit akan tetap menghantar degupan gelisah di dalam jiwa seorang hamba yang fitrahnya rapuh. Tetapi, yakinlah tidak pernah ada sesuatu apapun yang ALLAH ‘Azza wa Jall izinkan berlaku itu bernilai sia-sia. Begitulah juga untuk kata mehnah.

 

Jika ingin menulis tentang manfaatnya mehnah, pastinya pelbagai. Namun, sedikit yang tercoret ini adalah yang sedang dan telah sedikit sebanyak ditekuni dan dihadami. Ringkasnya, hadirnya ujian (mehnah) adalah sebagai:

 

1) Cara ALLAH ‘Azza wa Jall mempamerkan kasih sayangNYA.

2) Kaffaratul Zanb – Peluang membersihkan ruh dan jiwa daripada kotor dosa.

3) Peluang meraih pahala bersabar.

4) Jalan untuk tambah mengenali si Pemberi ujian – ALLAH ‘Azza wa Jall.

5) Pelajaran tentang sabar dan redha.

6) Belajar memperkemaskan dan memewahkan do’a serta munajat.

7) Ruang muhasabah diri.

8) Peluang untuk membuktikan sikap sebagai hamba yang mukmin iaitu; bersangka baik kepada ALLAH ‘Azza wa Jall.

9) Waktu untuk menekuni dan meyakini bahawa – “kalau yang daripada ALLAH, semuanya adalah yang baik-baik sahaja.”

10) Fasa latihan untuk bersifat dengan sikap orang-orang yang menyandarkan segala urusan kepada ALLAH (bertawakkal).

11) Belajar bertenang walau seberat manapun ujian kerana diri tahu dan yakin akan jaminan ALLAH yang  tidak akan melontarkan ujian di luar kekuatan insan.

12) Wasilah mengakrab diri kepada ALLAH ‘Azza wa Jall (taqarrub).

13) Kesempatan memetik dan memaknai hikmah juga ‘ibrah.

14) Peluang mengislahkan  pelbagai sisi diri – terutamanya memperbaiki kualiti kehambaan kepada ALLAH ‘Azza wa Jall.

 

Kesemua manfaat ini termaktub dalam pelbagai skrip firmanNYA, juga terakam pada bait-bait sabda Junjungan shollallahu ‘alayhi wasallam. Apapun wajah mehnah yang datang menyapa, carilah dan jangan pernah berhenti meraih manfaat daripadanya. Kerana untuk para mukmin, di dunia ini kembarnya adalah ujian, ujian dan ujian.

Senyum.

Dan, teruslah memaknai dengan mata hati.

Advertisements