Cerita lebuhraya

Leave a comment

pada cerita, ada makna buat jiwa…

Bismillah.

Hidup ini perjalanan menuju destinasi. Ada perjalanan singkat. Boleh jadi pula perjalanan itu melebihi dekad. Umpama kenderaan  yang pelbagai di lebuhraya. Pelbagai rupa bentuk jenisnya. Namun, pasti ada satu destinasi yang dituju oleh sang pemandu.

Kadang, di sepanjang perjalanan, dapat terlihat oleh mata, ada perjalanan yang terhenti kerana masalah kenderaan yang tak diketahui. Tersadai di bahu jalan menanti bantuan tiba. Ada pula yang terhenti dalam keadaan yang tak terduga. Dalam keadaan terbalik, remuk dan menyayat jiwa.

Di situasi yang lain, ada pula yang berhenti dalam keadaan terancang di hentian-hentian rehat untuk melepas lelah dan mengisi sumber bahan bakar yang kian mengering.

Kadang terlihat, si lori yang garang dan gagah meluncur melebihi had, sebegitu juga sang bas yang berkejar-kejaran tergapah memburu destinasi. Selalu yang berbadan kilat lagi megah berpapasan penuh gah dengan si kecil yang terbata-bata di lorong kiri. Tiga tayar jarang terlihat. Yang dua tayar kadang meluncur taat di tepi bahu jalan. Tapi, selalunya terbang mencelah merasa juga dirinya ingin megah.

Ada empat tayar, enam tayar malah terkadang sepuluh. Ada beban yang penuh. Ada yang ringan sendirian. Ada yang berjenama mewah. Ada yang sederhana biasa. Namun, pada akhirnya ia bukan tentang jenama mahupun rupa. Bukan juga tentang lambat mahupun cepat.

Ia tentang destinasi apa dan selamatkah perjalanan itu nantinya. Begitu kisahnya lebuhraya, ada nilai pada ‘ibrah bagi yang menekuni dan mahu mencetuskan fikir. Ia santapan sang musafir yang mahu mencermati dengan mata hati dan relung jiwa yang lapang terbuka.

Ia sebenarnya ada biasan cerita, tentang manusia.

Ia tentang kita.

Tetaplah Melangkah ( I )

2 Comments

Melangkah itu tabah…

 

Saat layu letai terkulai

memunggah pedihnya resah

Yang tak kunjung sudah

Menangislah dari hati yang dalam

Menangislah…

Menangis.

 

Biar duka melega

Hanyut dibawa airmata

Lenyap saat ia terseka.

 

Saat tangis sudah puas

Bangkit kembali melangkah deras

Pada juang yang belum lunas

 

Yakin saja,

Teguh akan kian mencambah

Memutik kembali semangat nan patah

Membugar dengan embunan tabah

tegalah terus melangkah…

Kerana kita, ada ALLAH.

 

[06.08.10]

Kesembuhan ( I )

Leave a comment

Bismillah.

hati, biar selalu diperhati...

Kesembuhan. Kenapa kita perlu kepada kesembuhan? Kesembuhan itu apa dan bagaimana?

Kesembuhan itu adalah sesuatu yang membugarkan. Ia jalan untuk kembali menyemangati jasad dan diri. Kesembuhan cuma perlu hadir pada tempat yang ada luka, sakit mahupun perit. Boleh jadi ia terjadi kepada fizikal. Boleh jadi ia terjadi kepada emosi, malahan pada akal, dan yang paling bahaya itu adalah kalau terluka pada ruh.

Antara luka pada fizikal, emosi ataupun akal, yang paling derita adalah kelukaan pada ruh itu sendiri. Kelukaan pada ruh bermaksud ada sesuatu yang dilakukan yang mungkin menjadi asbab akan amarah ALLAH, kerana ruh itu terlalu akrab terkait hubungannya dengan ALLAH. Terlukanya ruh bermaksud kita melangkaui dan berbuat dengan sesuatu yang ALLAH benci dan larang. Ia terluka dengan tajamnya bebilah dosa.

Justeru, wasilah kesembuhan untuk luka yang terhiris pada ruh adalah pada kata dan berbuat taubat. Malahan juga, kesembuhan itu upaya dihirupi pada segala amal soleh yang kembali membuat jiwa tunduk untuk menadah maghfirah dengan bebutir istighfar tanpa lelah. Di samping itu, hendaklah turut merasa kekesalan yang dalam dan mengemaskan iltizam untuk tidak lagi mengulang  akan asbab amarah ALLAH itu.

Saat dan ketika kantung-kantung istighfar dan maghfirah itu telah terisi, maka tercukuplah syarat untuk ruh yang tersiat luka itu kembali meneguk kesembuhan.

Ia akan menenangkan duka dan kemudiannya akan kembali mendamaikan rasa yang  sekian lama haus akan nasuha.

Kitar Tarbiah

Leave a comment

Sang embun pun; ada saat keringnya…

Suatu waktu,

Akan kau nikmati…

kejayaan yang manis, kasih yang tulus

tawa ria keluarga, sanjung yang mulia

santapan yang lazat, hebatnya darjat

mungkin, comelnya zuriat

Syukurilah…dan koreksi.

 

Suatu waktu,

Akan kau depani…

jatuh yang perit, kisah yang pahit

kecewa yang pedih, duka yang perih

kurangnya harta, beratnya derita

mungkin, perginya yang tercinta

Sabarlah…dan renungi.

 

Syukur dan sabar

adalah putaran tarbiah, dari isian mehnah

yang tiada henti, sampai hujung nadi

oh!

begitu rupanya ujian, buat menempa iman

dari Maha Pencinta, buat menambah CINTA.

 

[16.10.10]

Glosari;

Tarbiah: didikan

Mehnah: ujian

 

Nafar ilmi: jalan cerah ke syurga

Leave a comment

Bismillah.

ilmu, makanan berzat buat ruh…

Hidup ini pelajaran. Kitalah pelajarnya. Hidup ini mujahadah. Kitalah para mujahid mujahidahnya. Kalau namanya jihad, tiada jaminan permaidani lembut untuk dipijaki oleh para pejuang. Yang menanti adalah tusuk-tusuk duri, airmata, luka dan derita. Namun, ganjarannya tak ternilai dengan nilai harta. Nilainya adalah nilai disisi ALLAH, harganya adalah harga pada pandangan ALLAH. Semuanya tersiap dijamin ALLAH. Untuk terjatuh berkali-kali dan terluka adalah biasa. Pelajaran sabar adalah mesti.

Airmata adalah teman. Jangan pernah lelah menyeka. ALLAH adalah pergantungan mutlak yang memungkinkan ada lagi langkah-langkah seterusnya. Pejuang perlu belajar mengenal keperitan sebagai nikmat. Yang diberikan cuma pada yang terpilih dan memilih jalan-jalan jihad. Kamu, aku dan dia;  jihad ilmu ini syurga ganjarannya. Jihad ini adalah nafar (keluar mengembara) ilmi dengan mata pena, kefahaman dan tajamnya ilham. Tiada mata pedang, tiada percik darah. Tetapi ia fii sabilillah. Tuluskan niat, tegakkan semangat. Rebah ke sekian kali pun, nekadlah untuk terus melangkah. Kerana yang ‘menemani’ perjuangan ini bukan calang-calang.

Kalau kita tak silap memilih teman. Kita akan berjaya, walau sepayah mana. DIAlah teman, Tuhan sumber segala ilham dan kekuatan, sumber segala-segala, seluruhnya. Terus ikatkan teguh dan  perindahkan hubungan dengan ALLAH. DIA akan memandu tiap orak langkah ke hadapan. Kejapkan jejak, kuatkan ikhtiar dan beratkan doa. Jihad ini hanya akan terhenti, saat nafas terakhir nanti.

ALLAHu musta’aan!

Belajar menikmati kepahitan

Leave a comment

Pahit yang manis…

Bismillah.

Belajar menikmati kepahitan. Itu sesuatu yang luar dari biasa. Kerana yang pahit-pahit atau yang perit-perit itu selalunya membuat yang bernama insan itu menderita. Samada letak kepahitan itu pada emosi mahupun jasad, kita tidak pernah kuat untuk menekuninya kalau bukan dengan izin Yang Maha Kuat. Itu pasti dan mesti begitu.

Bagaimana untuk menikmati yang bernama kepahitan itu? Ya, kepahitan itu boleh jadi apa-apa yang tidak kena pada jiwa dan rasa. Ia tidak menyelesakan. Ia boleh jadi rasa kecewa, tersisih, terluka, ditimpa penyakit yang belum sembuh-sembuh, rasa kehilangan, rasa belum punya teman sehidup semati (mungkin), malah rasa-rasa ketidakcukupan pada harta, pada kasih sayang dan kontangnya perhatian. Semua yang tersebut itu biasa-biasanya adalah antara ujian yang menuangkan kepahitan di dalam hidup kita. Masih banyak lagi, andai senarai itu diteruskan…

Namun, sesungguhnya orang-orang yang dadanya berisi iman, iman itu boleh sahaja membuatnya tidak memilih untuk menderitai kepahitan-kepahitan itu, malah ia lebih memilih untuk bersabar dan berlapang dada dengannya. Dengan sabar dan lapang dada itu hakikinya merupakan cara buat orang-orang beriman menyiapkan jalan untuk berusaha menekuni dan pada waktu yang sama untuk menikmati yang  bernama kepahitan itu.

Nah, kitalah yang akhirnya memilih bukan? Untuk dideritai, dinikmati atau disabari. Turun naik iman kita akan menentukan pilihan itu.  Semoga jiwa hamba yang hina ini terus diberi faham dan ilham untuk hanya memilih yang wajar dengan akal dan jiwa yang waras terpimpin, enshaALLAH.