Kesembuhan ( II )

Leave a comment

selalu akan sembuh, dengan DIA...

selalu akan sembuh, dengan DIA…

Bismillah.

ALLAH akan beri apa yang kita fokuskan. Ya, fokus.

Kerana ALLAH telah menjamin bahawa DIA akan bertindak sebagaimana hamba-hambaNYA fikir dan fokus tentang DIA.

AKU menurut persangkaan hambaKU terhadapKU…” [Hadith Qudsi]

Maknanya, andai kita memikirkan ALLAH itu Maha Baik. Subhaanallah! itu yang akan DIA terjemahkan di dalam setiap cerita hidup kita. Kalau kita berfikir ALLAH itu Maha Penyembuh. Sungguh, walau sakit lama mana atau seteruk apa pun jua. DIA pasti akan menghulurkan penawar. Ya, begitu sewajarnya yakin kita dengan segala apa yang dijamin olehNYA.

Namun, andailah saat kita telah memikirkan ALLAH itu Maha Penyembuh, tetapi kita yang telah lama sakit tidak pula kelihatan sembuh-sembuh. Sungguh, apa yang ALLAH beri, itulah jalan kesembuhan dan penawar buat kita. Sekalipun di sisi akal dan fikir kita yang terbatas ini,  itu begitu jauh dari mengatakan ia kelibat sebuah kesembuhan ataupun penawar.

Namun, disisi ALLAH itulah penawar, itulah yang bermaksud kesembuhan. Tetaplah pinta kepada ALLAH agar dikuatkan hati untuk terus juga kuat bersangka yang baik-baik dan yang elok-elok kepada ALLAH. Kerana apa pun yang dihulurkan ALLAH, hakikatnya semuanya adalah  anugerah yang seiring dengannya isian hasanah dan hikmah semata.

Apatah, kalau difikirkan lagi dan lagi. Jalan pertama untuk meraih kesembuhan itu adalah dengan memperelok sangka dan fikir kita kepada diri kita dan sudah tentu pertamanya kepada ALLAH, Yang Maha Segala-galanya.

Cerita lebuhraya

Leave a comment

pada cerita, ada makna buat jiwa…

Bismillah.

Hidup ini perjalanan menuju destinasi. Ada perjalanan singkat. Boleh jadi pula perjalanan itu melebihi dekad. Umpama kenderaan  yang pelbagai di lebuhraya. Pelbagai rupa bentuk jenisnya. Namun, pasti ada satu destinasi yang dituju oleh sang pemandu.

Kadang, di sepanjang perjalanan, dapat terlihat oleh mata, ada perjalanan yang terhenti kerana masalah kenderaan yang tak diketahui. Tersadai di bahu jalan menanti bantuan tiba. Ada pula yang terhenti dalam keadaan yang tak terduga. Dalam keadaan terbalik, remuk dan menyayat jiwa.

Di situasi yang lain, ada pula yang berhenti dalam keadaan terancang di hentian-hentian rehat untuk melepas lelah dan mengisi sumber bahan bakar yang kian mengering.

Kadang terlihat, si lori yang garang dan gagah meluncur melebihi had, sebegitu juga sang bas yang berkejar-kejaran tergapah memburu destinasi. Selalu yang berbadan kilat lagi megah berpapasan penuh gah dengan si kecil yang terbata-bata di lorong kiri. Tiga tayar jarang terlihat. Yang dua tayar kadang meluncur taat di tepi bahu jalan. Tapi, selalunya terbang mencelah merasa juga dirinya ingin megah.

Ada empat tayar, enam tayar malah terkadang sepuluh. Ada beban yang penuh. Ada yang ringan sendirian. Ada yang berjenama mewah. Ada yang sederhana biasa. Namun, pada akhirnya ia bukan tentang jenama mahupun rupa. Bukan juga tentang lambat mahupun cepat.

Ia tentang destinasi apa dan selamatkah perjalanan itu nantinya. Begitu kisahnya lebuhraya, ada nilai pada ‘ibrah bagi yang menekuni dan mahu mencetuskan fikir. Ia santapan sang musafir yang mahu mencermati dengan mata hati dan relung jiwa yang lapang terbuka.

Ia sebenarnya ada biasan cerita, tentang manusia.

Ia tentang kita.

Kesembuhan ( I )

Leave a comment

Bismillah.

hati, biar selalu diperhati...

Kesembuhan. Kenapa kita perlu kepada kesembuhan? Kesembuhan itu apa dan bagaimana?

Kesembuhan itu adalah sesuatu yang membugarkan. Ia jalan untuk kembali menyemangati jasad dan diri. Kesembuhan cuma perlu hadir pada tempat yang ada luka, sakit mahupun perit. Boleh jadi ia terjadi kepada fizikal. Boleh jadi ia terjadi kepada emosi, malahan pada akal, dan yang paling bahaya itu adalah kalau terluka pada ruh.

Antara luka pada fizikal, emosi ataupun akal, yang paling derita adalah kelukaan pada ruh itu sendiri. Kelukaan pada ruh bermaksud ada sesuatu yang dilakukan yang mungkin menjadi asbab akan amarah ALLAH, kerana ruh itu terlalu akrab terkait hubungannya dengan ALLAH. Terlukanya ruh bermaksud kita melangkaui dan berbuat dengan sesuatu yang ALLAH benci dan larang. Ia terluka dengan tajamnya bebilah dosa.

Justeru, wasilah kesembuhan untuk luka yang terhiris pada ruh adalah pada kata dan berbuat taubat. Malahan juga, kesembuhan itu upaya dihirupi pada segala amal soleh yang kembali membuat jiwa tunduk untuk menadah maghfirah dengan bebutir istighfar tanpa lelah. Di samping itu, hendaklah turut merasa kekesalan yang dalam dan mengemaskan iltizam untuk tidak lagi mengulang  akan asbab amarah ALLAH itu.

Saat dan ketika kantung-kantung istighfar dan maghfirah itu telah terisi, maka tercukuplah syarat untuk ruh yang tersiat luka itu kembali meneguk kesembuhan.

Ia akan menenangkan duka dan kemudiannya akan kembali mendamaikan rasa yang  sekian lama haus akan nasuha.

DOA: Memohon agar dapat memandang wajah ALLAH, kenikmatan tertinggi di akhirat

Leave a comment

Cahaya atas cahaya…

أَسْأَلُكَ لَذَّةَ النَّظَرِ إِلَى وَجْهِكَ وَالشَّوْقَ إِلَى لِقَائِكَ

[As-aluka ladzdzatan nazhor ila wajhik, wasy-syauqo ilaa liqo’ik]

“Aku meminta kepadaMU (ya ALLAH) kenikmatan memandang wajahMU (di akhirat nanti) dan aku meminta kepadaMU, kerinduan untuk bertemu denganMU (sewaktu di dunia)”.

*Hadith Riwayat An-Nasa’ei : (3/54 & 3/55), Ahmad (6/624), Al-Hakim: No.424

Sepetang di SERUMPUN | 2

Leave a comment

Bismillah.

Suatu waktu, ahad lalu, di teduhan petang yang dingin lagi aman, Auditorium A, Kulliyah Kejuruteraan, UIA. Diberi lapang untuk terus mengutip mutiara-mutiara ilmu dari para penulis yang menggugah iman. Sempat pula bermain dengan empat patah kata dicerna dari keempat-empat panelis acara forum SERUMPUN | 2 itu,

:: Bulan | Minyak | Ikan | Lidah ::

Kata moderator “Silakan kalian semua menulis dalam tempoh 5 minit dengan memasukkan empat patah perkataan tersebut”. Nah, berikut ini cerita dari lorekan pena ilhamNYA:

“…Bulan cantik yang menyinar itu persis asalnya dari minyak zaitun harum yang dibakar dibawah sumbu api perlahan. Apabila bersatu dengan air lautan yang membiru, aduhai sang ikan menari-nari terlentok dibelai sinaran sang rembulan. Maka, lidah insan pun menterjemahkan cerita indah itu kepada sebuah hikayat yang sungguh menginspirasikan iman…”

Image

Itu baru selorek catatan ilham. Oh, ajaib sungguh Sang Pemberi Ilham!. Terlalu ajaibnya Yang Maha Bijaksana itu, apatah kalau memikirkan telah sekian banyak pena-pena yang telah berdekad dan berkurun menulis dan menulis hingga waktu ini pun. Nyatanya, pena tak pernah upaya menari kalau bukan kerana DIA yang memberi.

Bukankah seluruh kehidupan kita ini pun begitu?

Hilang

Leave a comment

Ia ada, tak pernah sirna…

Bismillah.

Bertemu lagi pada usia yang masih diberi. Hamdan lillah.

Kali ini ALLAH memberi ilham tentang fikir ini. Tentang hilang. Hilang yang jarang dibincang. Hilang yang selalu membuat jiwa pincang. Kehilangan apakah itu?

Kalau yang hilang itu barang, duit atau materi, itu biasa. Apatah yang sebesar kereta mahupun motosikal boleh juga hilang dari pandangan mata. Itu menjadi biasa-biasa sahaja sekarang ini.

Tetapi, cuba dibayangkan kalau yang hilang itu adalah diri sendiri. Ia bukan biasa malah sesuatu yang ngeri. Mungkin kerana kita selalu memandang bahawa yang akan hilang itu hanyalah sesuatu yang bersifat fizikal. Tetapi rupanya hilang di dalam diri sendiri itu sesuatu yang lebih keliru dan amat menakutkan.

Ia seperti berjalan tanpa kaki, berfikir tanpa akal, melihat tanpa mata dan merasa tanpa jiwa. Seluruh urat nadi bagai terhenti, padahal nafas masih mendetakkan nadi. Jiwa bingung tercari-cari. Tetapi, tak tahu arah mana ingin pergi. Bangkit dan kemudian terjatuh kembali, berkali-kali.

Jawapannya hanya ada pada diri. Tetap ada pada diri. Teruslah mencari, menggali dan bertanya kepada Yang Maha Teliti.

Nafar ilmi: jalan cerah ke syurga

Leave a comment

Bismillah.

ilmu, makanan berzat buat ruh…

Hidup ini pelajaran. Kitalah pelajarnya. Hidup ini mujahadah. Kitalah para mujahid mujahidahnya. Kalau namanya jihad, tiada jaminan permaidani lembut untuk dipijaki oleh para pejuang. Yang menanti adalah tusuk-tusuk duri, airmata, luka dan derita. Namun, ganjarannya tak ternilai dengan nilai harta. Nilainya adalah nilai disisi ALLAH, harganya adalah harga pada pandangan ALLAH. Semuanya tersiap dijamin ALLAH. Untuk terjatuh berkali-kali dan terluka adalah biasa. Pelajaran sabar adalah mesti.

Airmata adalah teman. Jangan pernah lelah menyeka. ALLAH adalah pergantungan mutlak yang memungkinkan ada lagi langkah-langkah seterusnya. Pejuang perlu belajar mengenal keperitan sebagai nikmat. Yang diberikan cuma pada yang terpilih dan memilih jalan-jalan jihad. Kamu, aku dan dia;  jihad ilmu ini syurga ganjarannya. Jihad ini adalah nafar (keluar mengembara) ilmi dengan mata pena, kefahaman dan tajamnya ilham. Tiada mata pedang, tiada percik darah. Tetapi ia fii sabilillah. Tuluskan niat, tegakkan semangat. Rebah ke sekian kali pun, nekadlah untuk terus melangkah. Kerana yang ‘menemani’ perjuangan ini bukan calang-calang.

Kalau kita tak silap memilih teman. Kita akan berjaya, walau sepayah mana. DIAlah teman, Tuhan sumber segala ilham dan kekuatan, sumber segala-segala, seluruhnya. Terus ikatkan teguh dan  perindahkan hubungan dengan ALLAH. DIA akan memandu tiap orak langkah ke hadapan. Kejapkan jejak, kuatkan ikhtiar dan beratkan doa. Jihad ini hanya akan terhenti, saat nafas terakhir nanti.

ALLAHu musta’aan!

Older Entries