Pada apa letak harga Ramadhanmu?

2 Comments

Berapa harga agar Ramadhanmu berharga?

Bismillah.

Sedetik.

Seminit. Sejam.

Sehari. Seminggu. 2 minggu.

Waktu kian merapati garis henti bagi sebuah ‘sekolah’ tarbiah hati dan diri. Waktu tak pernah menanti, hanya terus berlari. Sepantas itu jugalah detik-detik keemasan di bulan Ramadhan ini kian berlalu. Kini, Ramadhan berada di fasa kedua kelebihannya dan pastinya fasa pertama tidak akan berulang lagi  kecuali pada tahun mendatang, andai masih diizin bertemunya.

Fitrahnya, jiwa seorang mukmin itu akan kian bergetar, merintih serta mengira-ngira setakat mana kutipan imannya. Minda kehambaannya akan bergolak dengan pelbagai pertanyaan yang memenuhi fikiran:

“Apakah nilai yang masuk ke akaun Ramadhanku?; Apa sahajalah yang telah terisi pada wadah Ramadhanku?  Sekadar tidak makankah? atau semata pada menahan dahaga? Hanya pada seekor dua ayam golek atau pada segala juadah di bazar Ramadhan yang tak terkirakan itu sahajakah harga Ramadhanku ?”

Nah, pada apa tersandar harga Ramadhan kita?. Tepuk dada, tanyalah iman yang menjadi kemudi hati.

Ya ALLAH…bantulah hamba-hamba rapuh ini. Agar paling tidak pun dapat menjawab segala persoalan ini dengan amal yang berharga ibadah dan tingkah yang bernilai ubudiyah.

Renungkan. Telah segarkah ruh dengan siraman Qurani? Telah terjumpakah denai menuju Kekasih yang dirindui?

Tertempakah sekeping jiwa dengan acuan iman? atau yang tertempa hanyalah perut dengan limpahan makanan.

Ayuh, kita kira…kita hitung…Muhasabah!… Agar dapat terus mengurus usaha meraih ganjaran dan tawaran melimpah pada wadah Ramadhan sebentar ini. Fokuskan kembali halatuju kita pada nilai akhir yang mahu didapatkan melalui ‘sekolah’ Ramadhan ini, sebagaimana termaktub dalam pesanNYA:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ

“Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan kepada kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan kepada orang-orang sebelum kamu agar kamu berTAQWA” [Al-Baqarah : 183]

Ya, TAQWA. Itulah nilai harga akhir yang mahu kita juangkan!

Semoga ALLAH kita yang Maha Baik terus sudi memimpin jiwa lemah kita untuk cekal terus bermujahadah dalam menuju manisnya anugerah taqwa yang dijanjikan pada garis akhir Ramadhan nanti.

Teruskan pecutan iman wahai jiwa-jiwa abdi! …

Fa firruu ilallah! ~ Dan, berlarilah menujuNYA…



Ramadhan: Hadiah istimewa untuk hambaNYA…

1 Comment

Sambutlah hadiahNYA dengan jiwa hamba…

Bismillah.

Hadiah istimewa? Cantik berbungkus. Harum. Siap pula ditakhtakan reben bersinar keemasan . Wah, siapa yang tidak mahu melihat isinya. Mata yang melihat bercahaya-cahaya penuh ingin, pasti hatinya berbunga-bunga mahu. Untuk siapa? Untuk semua yang mahu. Mustahil ! Ya, ia untuk kamu yang mahu. Ambillah.

Begitu umpamanya Ramadhan. Ia hadiah istimewa pemberian ALLAH. Memang, ia untuk semua hamba ALLAH yang mahu. Isinya lebih indah. Lebih mengasyikkan iman. Ayuh semua, sambutlah hadiah cinta yang sedang ALLAH hulurkan. Ia dari ALLAH buat jiwa yang menghamba semata padaNYA. Ambilnya cuma bersyarat cekal dan sabar. Cekal pada mengusahakan setiap yang digemariNYA. Sabar dalam bertahan dari setiap yang dilarang dan dibenciNYA. Wah, rupanya ia hadiah berisi pakaian TAQWA yang akan diperagakan para mukmin untuk sebelas lagi bulan mendatang selepasnya. Ia sesungguhnya hadiah paling mulia yang menjadikan kita mulia, di pandanganNYA.

Ahlan…ahlan…ahlan ya Ramadhan. Sarat rindu kami kerana berat lagi rindu kami pada Penciptamu. Ramadhan kareem !

SELAMAT MENJANA TAQWA BUAT SEMUA PENCINTA YANG MAHA ESA…

Newer Entries